Selasa, 15 September 2009

Islam Dan Hiburan

Dipetik dari:
www.iluvislam.com

Berhibur tiada salahnya, Kerna hiburan itu indah
Hanya pabila salah memilihnya, membuat kita jadi bersalah


Naluri Manusia

Allah itu Maha Berkuasa sifatNya. Memang tidak dapat disangkal akal lagi akan sifatNya itu. Dalam setiap kejadian yang diaturiNya, pasti ada keindahanNya tersendiri. Setiap kejadian susunan Allah, ada nur disebaliknya. Setiap penciptaan ada haknya tersendiri. Islam ini adalah agama yang syumul. Ya, sebuah agama yang 'perfect' untuk setiap manusia.

Setiap manusia di muka bumi ini, ada naluri tersendiri. Pelbagai jenis naluri yang timbul dari dalam manusia yang nun jauh tersembunyi di lubuk hati setiap manusia. Naluri ingin memiliki rumah bagaikan istana tersergam megah di tepian pantai yang indah, Naluri ingin memiliki isteri yang cantik, tidak jemu dipandang mata dan menyejukkan hati, Naluri yang ingin memiliki harta setinggi Gunung Kinabalu agar dapat dibelanjakan di jalan Allah, Naluri ingin berpesta dan berpoya dengan iringan muzik-muzik yang mengasyikka..Ya, terlalu banyak jika hendak disenaraikan, apa yang naluri manusia inginkan.

Seperti firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 14;

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).

Dari ayat di atas, Allah yang Maha Mengetahui itu sudah tahu apa yang diingini oleh setiap manusia yang diciptaNya. Oleh itu, Allah menjadikan agama Islam itu sendiri agama yang tidak menolak naluri manusia. Agama yang bersesuaian dengan naluri manusia.

Allah menegaskan dalam firmanNya pada surah Al-A'raf ayat 32;

"Katakanlah: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang Telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?" Katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat." Demikianlah kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang Mengetahui."

Lihatlah, Allah menjadikan perhiasan di dunia ini yang amatlah bertepatan dengan naluri manusia. Namun, atas kebijaksanaan Allah, maka, Allah menjadikan batas-batas untuk setiap naluri manusia itu. Kenapa Allah menetapkan batas-batas berkenaan?, sedangkan Allah telahpun mengetahui akan kehendak dan naluri manusia itu sendiri? Itulah yang menunjukkan Allah itu Maha Mengetahui, jika tiada sekatan serta batasan yang terkandung dalam buku perintah Allah itu, nescaya, ramailah manusia-manusia yang menuju ke arah kerosakan.

Islam dan Seni Hiburan

Allah tidak melarang kita untuk berhibur. Selagi hiburan itu tidak mendatangkan kelalaian dalam kehidupan kita, maka, hiburan itu perlu. Tanyalah mana-mana ustaz di dalam dunia ini, Apa hukumnya berhibur? Pasti akan keluar jawapan seakan-akan begini, "Berhibur? Dalam Islam berhibur itu boleh selagi tidak melanggar syariat, tidak melalaikan dan tidak menjerumus kepada kemaksiatan" Perkembangan dunia hiburan dalam Islam berkembang luas selepas berkembangnya empayar-empayar Islam menguasai dua pertiga dari bumi ini.

Ketika zaman sebelumnya, umat Islam ketika itu kurang mengambil bahagian dalam hiburan kerana masing-masing mempersiapkan diri untuk melebarkan agama Allah dan memperluaskan empayar Islam. Apabila empayar Islam sudah merebak luas, maka, pertembungan budaya dengan empayar-empayar lain seperti empayar Parsi, Empayar India, Empayar Rome dan sebagainya terjadi. Akibat pertembungan empayar inilah, seni hiburan mula menular dalam hati nurani umat Islam ketika itu.

Seni hiburan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Ia semakin tersebar luas dengan sendirinya dari hari ke hari. Selepas seni hiburan semakin kukuh dalam naluri manusia di saat itu, bermulalah episod kesedihan yang sangat tragis dalam sejarah Islam. Empayar-empayar Islam mula roboh satu demi satu, seperti robohnya rumah yang dimakan anai-anai. Islam mula jatuh disebabkan manusia melebihkan seni hiburan itu dari syariatNya.

Tersebarnya seni hiburan itu sehingga hari ini dan tika ini. Seni yang dahulunya hanya dijadikan halwa telinga semata-mata, kini, bagaikan darah daging manusia. Umpama oksigen untuk tubuh badan manusia. Manakan tidak sebagai oksigen, kerana hiburan itu sendiri sudah menjadi sumber pencarian rezekinya.

Terlalu tinggi rasanya saya mendefinisikan seni sebagai oksigen dalam menggambarkan betapa perlunya seni hiburan itu dalam setiap tubuh-tubuh manusia masakini. Manakan tidak, ada sahaja manusia yang sanggup melafazkan ayat sebegini, "Ya Allah, mati kebosanan la aku macam ni dah la TV tak der, radio pun tak der!" Bayangkan! tanpa hiburan, dia boleh MATI KEBOSANAN!



Cubalah kita perhatikan hiburan di zaman ini. Dari hiburan yang tertutup seperti disco, pub, pusat karaoke, kelab malam dan sebagainya sehinggalah hiburan yang dianjurkan secara terbuka; Konsert Jom Heboh, pesta muda-mudi, realiti TV, seperti Akedemi Fantasia, Mentor, One in a Million dan sebagainya lagi. Begitu banyak bukan? Jika hendak dihitung, entah bila akan kesudahannya. Sehinggakan dalam perlaksanaan hiburan sebegini menelan belanja jutaan ringgit sekalipun, ianya akan tetap dijayakan!

Sampai begitu sekali bahana seni hiburan masa kini. Ya, hiburan masa kini..yang terlalu jauh membawa pergi roh-roh Islam ke dalam hati dan naluri manusia. Seni-seni hiburan ini bagaikan kanser didalam badan manusia. Dimana ia semakin merebak dan memusnahkan anggota badan yang lain sedikit demi sedikit. Bermula dengan 'hiburan ringan-ringan' seperti nasyid, kerana terlalu banyak lagu-lagu yang ber'title'kan nasyid menyampaikan mesej berbentuk kecintaan adam dan hawa, menyebabkan hati yang lemah mula berubah ke arah lagu yang mendayu-dayu. Seperti kata anak muda kini, 'lagu meleleh-leleh' atau 'lagu jiwang karat'. Kemudian, naluri semakin advance, dendangan lagu-lagu tajaan Barat mula menjadi suntingan. Nyanyian masih lagi 'jiwang karat', namun liriknya semakin ke'barat'an. Nyanyian BackStreet Boys, N'sync dan boy band lain mula menjadi siulan harian. Apabila hati sudah memuja penyanyi-penyanyi sedemikian, kekabusan kegelapan menyelubungi hati, bermulalah kekerasan hati yang membawa kearah lagu-lagu bersifat keras! Punk, Skin Head, Black Metal dan lain-lain mula bertakhta dihati manusia. Maka terjadilah ritual-ritual yang menyesatkan akidah! Astaghfirullah!!. Atas dasar seni hiburan sebeginilah, maka produktiviti manusia semakin merosot dan menjunam ke bawah.

Kerana hiburan inilah, seorang pelajar tidur lambat untuk mengundi peserta kegemarannya dalam rancangan Mentor, seterusnya menyebabkan dia kurang fokus di sekolah kerana mengantuk. Kerana hiburan inilah, seorang pekerja lewat ke tempat kerja, kerana bangun lambat selepas semalaman melihat konsert Jom Heboh. Kerana hiburan inilah, seorang mahasiswa 'terpaksa' ponteng kelas untuk beratur panjang demi memperolehi tiket bola perlawanan Malaysia menentang Manchester United. Kerana hiburan inilah, seorang isteri 'terlupa' masak untuk suaminya yang baru pulang dari kerja kerana kesedihan melampau melihat Diari Akademi Fantasia. Kerana hiburan sebeginilah, seorang anak mengingkari arahan ayahnya dan melewat-lewatkan solat Maghrib kerana menonton rancangan Sin Chan dan dituruti rancangan Doraemon di kaca TV. Kerana hiburan inilah, seorang remaja perempuan hilang sifat malunya kerana bersesak-sesak dalam gerombolan manusia ketika menonton konsert Jason Mraz suatu ketika dahulu. Kerana hiburan inilah, sepasang remaja hilang pertimbangan agamanya ketika menonton tayangan wayang 'Drag Me To Hell' atau 'Angels and Demons' dalam kegelapan sehinggakan mereka 'membuat wayang' mereka sendiri kerana kebosanan jalan ceritanya. Kerana hiburan inilah, seorang pelajar telah mengkianati amanah seluruh umat Islam apabila dengan duit zakat yang diperuntukkan untuknya menuntut ilmu, telah dibelanjakannya untuk membeli CD terbaru 'Laskar Pelangi'. Kerana hiburan inilah, seorang pemimpin membelanjakan harta anak-anak yatim, harta ibu-ibu tunggal, harta para musafir di jalan Allah dan harta-harta orang fakir dengan menaja Formula 1, mendirikan Litar Perlumbaan Sepang bertaraf dunia dan menubuhkan Malaysian Philharmonic Ochestra. Kerana hiburan inilah, seorang remaja lelaki bertubuh sasa leka menyanyikan lagu 'Jai Ho' dari iPodnya sambil duduk di seat dalam komuter sehingga 'tidak nampak' seorang ibu yang sarat mengandung sedang berdiri dihadapannya kerana tidak memperolehi tempat duduk. Kerana hiburan inilah, sekumpulan manusia 'terlepas' solat Maghrib kerana tayangan Tansformer 2: Revenge of The Fallen bermula pada pukul 1910 dan memperolehi tempat duduk nun jauh dibelakang. Kerana hiburan inilah, seorang lelaki sanggup meninggalkan solat berjemaah di masjid atau surau kerana ingin menonton tayangan Nur Kasih dan Ceplos di TV.

Tangani Masalah Seni Hiburan

Cuba kita lihat, betapa banyaknya keburukan dalam seni hiburan ini. Justeru, hendaklah kita bersama-sama mengembleng tenaga untuk merubah gejala negatif agar menjadi positif. Jadikan hari ini lebih baik dari semalam! Esok, insyAllah lebih baik dari hari ini.

Terdapat banyak cara untuk kita semua berusaha menangani masalah seni hiburan ini. Antaranya adalah:

i) Solat hiburan UTAMA

Seperti sabda Nabi Muhammad SAW kepada Bilal, "Tenangkan dirimu ketika solat ya Bilal". Cuba kita lihat, Rasulullah SAW berpesan kepada Bilal, jika mahukan ketenangan, jadikan solat itu sebagai caranya. Bukan dengan mendengar lagu-lagu yang mengasyikkan atau melancong ke tempat-tempat peranginan yang mendamaikan.

ii) Majlis hiburan yang tidak melalaikan

Dalam bab ini, ada sedikit pujian dari saya buat kerajaan Selangor sekarang. Kenapa? Dahulu, kawan saya ada pergi 'satu majlis' anjuran kerajaan Selangor di Stadium Melawati. Berdasarkan ceritanya, program hiburan itu menarik kerana susunan majlisnya. Bermula dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan solat Hajat dan sedikit tazkirah. Kemudian Solat Isyak berjemaah. Selepas selesai, MB Selangor memberikan sedikit ucapan dan konsert nasyid berlangsung selepas itu. Yang menarik perhatian saya, sekurang-kurangnya, konsert itu tidak menyebabkan pengunjung melewat-lewatkan atau 'terlepas' untuk bersolat.

iii) Tiada percampuran lelaki dan perempuan

Kalau yang ini pula, saya memuji pucuk pimpinan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan. Tanpa perlu saya bercerita panjang, rasanya sudah ramai yang mengetahui akan konsert-konsert yang diadakan di Kelantan. Bagaimana pentadbir-pentadbir Kelantan memisahkan pengunjung lelaki dan perempuan agar tiada pergaulan bebas ketika konsert berlangsung.

iv) Tanam kesedaran Islam dalam Artis

Kalau artis-artis ini mula memahami Islam, Tiada sudah penyanyi-penyanyi wanita selepas ini. Bukankah Islam melarang wanita melunak-lunakkan suara untuk yang bukan 'selayaknya'. Jika artis-artis mula mengenali Islam, sudah pasti tiada lagi lakonan-lakonan 'bermutu' artis-artis Malaysia ketika berlakon. Kalau itu yang Islam mahukan, kenapa perlu dipersoalkan lagi? Adakah kerana kita mahukan seni hiburan itu, maka maksiat tidak dapat dipisahkan lagi? Banyak lagi seni hiburan yang terhidang diluar sana yang halal, terpulang pada kita untuk memilihnya atau menolaknya. Ada sahaja drama-drama berunsurkan islamik dari dahulu lagi.


v) Pemantauan dan penguatkuasaan pentadbiran

Dalam hal ini, kerajaan patutlah menghadkan lesen-lesen pembukaan disko dan pusat hiburan serta memantau operasi sebegini secara berterusan agar kemaksiatannya boleh dicegah. Bajet untuk sektor hiburan hendaklah dikurangkan agar dapat digunakan pada saluran yang lebih memerlukan. Realiti-realiti televisyen dalam mencari bakat-bakat baru hiburan perlulah dikurangkan sebaliknya diganti dengan realiti TV yang mencari bakat-bakat baru dalam bidang yang dapat memberi kebaikan kepada manusia, negara dan Islam itu sendiri seperti bakat dalam mencipta sesuatu yang baru.

vi) Sistem pendidikan yang berkesan

Bagi saya, inilah sumber tunjang dalam merubah sesuatu. Sistem pendidikan yang berkesan bagaikan jantung kepada tubuh badan kita. Jika jantung itu berfungsi dengan baik dan tiada cacat celanya, bekalan darah dapat dihantar ke setiap anggota badan yang lain. Bekalan oksigen dalam darah, dapat dipam dan dihantar dengan tertib kepada otak kita. Jika pendidikan dijalankan dengan betul dan mengikut syariat pada landasannya, nescaya insyAllah, semua masalah yang ada sekarang, pasti dapat dihindari dan ditangani. Lagipun, jika kita hendak membentuk sesuatu ketamadunan seseorang, mestilah bermula ketika mereka masih kecil lagi. "Meluntur buluh biarlah dari rebungnya" InsyAllah, jika kita semua memperbetulkan seni hiburan ini, nescaya tidak mustahil jika suatu hari nanti, seni hiburan dapat merubah wajahnya dari melalaikan dan membinasakan kepada suatu kebudayaan yang menjadi jati diri kita disamping menjadikan kita semakin mengingati Allah dan RasulNya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan