Ahad, 20 September 2009

Ramadhan Berakhir Syawal Menjelang Tiba



Salam Aidilfitri Maaf Zahir & Batin buat semua. Sayu rasa dihati meninggalkan ramadhan dan mungkinkah kita akan bertemu lagi ramadhan akan datang. Semoga ramadhan yang dah berlalu dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. Tak lupa juga untuk kita beristiqamah dalam melakukan ibadah seperti mana di bulan ramadhan.

Kemeriahan menyambut raya tidak asing lagi buat semua umat islam dengan hidangan kuih muih dan makanan yang pelbagai seperti lemang, ketupat, rendang, lontong dan sebagainya.Walaupun jauh disudut hati merindui keluarga di kampung halaman. Buat kali ke-2 nya saya beraya di perantauan, InsyaAllah panjang umur dan murah rezki dapatlah saya beraya bersama keluarga di Malaysia tahun hadapan. Walaupun bejauhan dengan keluarga, namun sahabat seperjuangan masih setia untuk bersama-sama menceriakan suasana, Terima kasih Semua.. Kalianlah keluarga dan saudara-mara saya di Jordan ni.

Pelbagai juadah yang disediakan dan tak kurang juga yang membuat rumah terbuka. Semoga Allah murahkan rezki kita semua dah memberkati usaha kita ini. Ziarah-menziarahi sesama umat islam disamping bermohon maaf. Lepas ini jangan lupa puasa 6 pula yerr... Niatkanlah setiap apa yang kita buat adalah kerana Allah Ta'ala, InsyaAllah semuanya akan mudah dan tenang. Dalam kegembiraan ada diselit kedukaan dengan musibah-musibah yang datang. Ya Allah kuatkanlah hati-hati kami dalam menempuhi ujian-Mu ini ya Allah. Semoga dengan apa yang berlaku dapat menyedarkan dan mengingatkan kita dari kealpaan dunia yang fana ini.

Buat akhirnya, jadikanlah syawal kali ini yang bermakna buat kita semua.


Eid Mubarrak, kullu am wa antum bil khoir, taqabbalallahu minkum...

Selasa, 15 September 2009

Islam Dan Hiburan

Dipetik dari:
www.iluvislam.com

Berhibur tiada salahnya, Kerna hiburan itu indah
Hanya pabila salah memilihnya, membuat kita jadi bersalah


Naluri Manusia

Allah itu Maha Berkuasa sifatNya. Memang tidak dapat disangkal akal lagi akan sifatNya itu. Dalam setiap kejadian yang diaturiNya, pasti ada keindahanNya tersendiri. Setiap kejadian susunan Allah, ada nur disebaliknya. Setiap penciptaan ada haknya tersendiri. Islam ini adalah agama yang syumul. Ya, sebuah agama yang 'perfect' untuk setiap manusia.

Setiap manusia di muka bumi ini, ada naluri tersendiri. Pelbagai jenis naluri yang timbul dari dalam manusia yang nun jauh tersembunyi di lubuk hati setiap manusia. Naluri ingin memiliki rumah bagaikan istana tersergam megah di tepian pantai yang indah, Naluri ingin memiliki isteri yang cantik, tidak jemu dipandang mata dan menyejukkan hati, Naluri yang ingin memiliki harta setinggi Gunung Kinabalu agar dapat dibelanjakan di jalan Allah, Naluri ingin berpesta dan berpoya dengan iringan muzik-muzik yang mengasyikka..Ya, terlalu banyak jika hendak disenaraikan, apa yang naluri manusia inginkan.

Seperti firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 14;

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).

Dari ayat di atas, Allah yang Maha Mengetahui itu sudah tahu apa yang diingini oleh setiap manusia yang diciptaNya. Oleh itu, Allah menjadikan agama Islam itu sendiri agama yang tidak menolak naluri manusia. Agama yang bersesuaian dengan naluri manusia.

Allah menegaskan dalam firmanNya pada surah Al-A'raf ayat 32;

"Katakanlah: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang Telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?" Katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat." Demikianlah kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang Mengetahui."

Lihatlah, Allah menjadikan perhiasan di dunia ini yang amatlah bertepatan dengan naluri manusia. Namun, atas kebijaksanaan Allah, maka, Allah menjadikan batas-batas untuk setiap naluri manusia itu. Kenapa Allah menetapkan batas-batas berkenaan?, sedangkan Allah telahpun mengetahui akan kehendak dan naluri manusia itu sendiri? Itulah yang menunjukkan Allah itu Maha Mengetahui, jika tiada sekatan serta batasan yang terkandung dalam buku perintah Allah itu, nescaya, ramailah manusia-manusia yang menuju ke arah kerosakan.

Islam dan Seni Hiburan

Allah tidak melarang kita untuk berhibur. Selagi hiburan itu tidak mendatangkan kelalaian dalam kehidupan kita, maka, hiburan itu perlu. Tanyalah mana-mana ustaz di dalam dunia ini, Apa hukumnya berhibur? Pasti akan keluar jawapan seakan-akan begini, "Berhibur? Dalam Islam berhibur itu boleh selagi tidak melanggar syariat, tidak melalaikan dan tidak menjerumus kepada kemaksiatan" Perkembangan dunia hiburan dalam Islam berkembang luas selepas berkembangnya empayar-empayar Islam menguasai dua pertiga dari bumi ini.

Ketika zaman sebelumnya, umat Islam ketika itu kurang mengambil bahagian dalam hiburan kerana masing-masing mempersiapkan diri untuk melebarkan agama Allah dan memperluaskan empayar Islam. Apabila empayar Islam sudah merebak luas, maka, pertembungan budaya dengan empayar-empayar lain seperti empayar Parsi, Empayar India, Empayar Rome dan sebagainya terjadi. Akibat pertembungan empayar inilah, seni hiburan mula menular dalam hati nurani umat Islam ketika itu.

Seni hiburan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Ia semakin tersebar luas dengan sendirinya dari hari ke hari. Selepas seni hiburan semakin kukuh dalam naluri manusia di saat itu, bermulalah episod kesedihan yang sangat tragis dalam sejarah Islam. Empayar-empayar Islam mula roboh satu demi satu, seperti robohnya rumah yang dimakan anai-anai. Islam mula jatuh disebabkan manusia melebihkan seni hiburan itu dari syariatNya.

Tersebarnya seni hiburan itu sehingga hari ini dan tika ini. Seni yang dahulunya hanya dijadikan halwa telinga semata-mata, kini, bagaikan darah daging manusia. Umpama oksigen untuk tubuh badan manusia. Manakan tidak sebagai oksigen, kerana hiburan itu sendiri sudah menjadi sumber pencarian rezekinya.

Terlalu tinggi rasanya saya mendefinisikan seni sebagai oksigen dalam menggambarkan betapa perlunya seni hiburan itu dalam setiap tubuh-tubuh manusia masakini. Manakan tidak, ada sahaja manusia yang sanggup melafazkan ayat sebegini, "Ya Allah, mati kebosanan la aku macam ni dah la TV tak der, radio pun tak der!" Bayangkan! tanpa hiburan, dia boleh MATI KEBOSANAN!



Cubalah kita perhatikan hiburan di zaman ini. Dari hiburan yang tertutup seperti disco, pub, pusat karaoke, kelab malam dan sebagainya sehinggalah hiburan yang dianjurkan secara terbuka; Konsert Jom Heboh, pesta muda-mudi, realiti TV, seperti Akedemi Fantasia, Mentor, One in a Million dan sebagainya lagi. Begitu banyak bukan? Jika hendak dihitung, entah bila akan kesudahannya. Sehinggakan dalam perlaksanaan hiburan sebegini menelan belanja jutaan ringgit sekalipun, ianya akan tetap dijayakan!

Sampai begitu sekali bahana seni hiburan masa kini. Ya, hiburan masa kini..yang terlalu jauh membawa pergi roh-roh Islam ke dalam hati dan naluri manusia. Seni-seni hiburan ini bagaikan kanser didalam badan manusia. Dimana ia semakin merebak dan memusnahkan anggota badan yang lain sedikit demi sedikit. Bermula dengan 'hiburan ringan-ringan' seperti nasyid, kerana terlalu banyak lagu-lagu yang ber'title'kan nasyid menyampaikan mesej berbentuk kecintaan adam dan hawa, menyebabkan hati yang lemah mula berubah ke arah lagu yang mendayu-dayu. Seperti kata anak muda kini, 'lagu meleleh-leleh' atau 'lagu jiwang karat'. Kemudian, naluri semakin advance, dendangan lagu-lagu tajaan Barat mula menjadi suntingan. Nyanyian masih lagi 'jiwang karat', namun liriknya semakin ke'barat'an. Nyanyian BackStreet Boys, N'sync dan boy band lain mula menjadi siulan harian. Apabila hati sudah memuja penyanyi-penyanyi sedemikian, kekabusan kegelapan menyelubungi hati, bermulalah kekerasan hati yang membawa kearah lagu-lagu bersifat keras! Punk, Skin Head, Black Metal dan lain-lain mula bertakhta dihati manusia. Maka terjadilah ritual-ritual yang menyesatkan akidah! Astaghfirullah!!. Atas dasar seni hiburan sebeginilah, maka produktiviti manusia semakin merosot dan menjunam ke bawah.

Kerana hiburan inilah, seorang pelajar tidur lambat untuk mengundi peserta kegemarannya dalam rancangan Mentor, seterusnya menyebabkan dia kurang fokus di sekolah kerana mengantuk. Kerana hiburan inilah, seorang pekerja lewat ke tempat kerja, kerana bangun lambat selepas semalaman melihat konsert Jom Heboh. Kerana hiburan inilah, seorang mahasiswa 'terpaksa' ponteng kelas untuk beratur panjang demi memperolehi tiket bola perlawanan Malaysia menentang Manchester United. Kerana hiburan inilah, seorang isteri 'terlupa' masak untuk suaminya yang baru pulang dari kerja kerana kesedihan melampau melihat Diari Akademi Fantasia. Kerana hiburan sebeginilah, seorang anak mengingkari arahan ayahnya dan melewat-lewatkan solat Maghrib kerana menonton rancangan Sin Chan dan dituruti rancangan Doraemon di kaca TV. Kerana hiburan inilah, seorang remaja perempuan hilang sifat malunya kerana bersesak-sesak dalam gerombolan manusia ketika menonton konsert Jason Mraz suatu ketika dahulu. Kerana hiburan inilah, sepasang remaja hilang pertimbangan agamanya ketika menonton tayangan wayang 'Drag Me To Hell' atau 'Angels and Demons' dalam kegelapan sehinggakan mereka 'membuat wayang' mereka sendiri kerana kebosanan jalan ceritanya. Kerana hiburan inilah, seorang pelajar telah mengkianati amanah seluruh umat Islam apabila dengan duit zakat yang diperuntukkan untuknya menuntut ilmu, telah dibelanjakannya untuk membeli CD terbaru 'Laskar Pelangi'. Kerana hiburan inilah, seorang pemimpin membelanjakan harta anak-anak yatim, harta ibu-ibu tunggal, harta para musafir di jalan Allah dan harta-harta orang fakir dengan menaja Formula 1, mendirikan Litar Perlumbaan Sepang bertaraf dunia dan menubuhkan Malaysian Philharmonic Ochestra. Kerana hiburan inilah, seorang remaja lelaki bertubuh sasa leka menyanyikan lagu 'Jai Ho' dari iPodnya sambil duduk di seat dalam komuter sehingga 'tidak nampak' seorang ibu yang sarat mengandung sedang berdiri dihadapannya kerana tidak memperolehi tempat duduk. Kerana hiburan inilah, sekumpulan manusia 'terlepas' solat Maghrib kerana tayangan Tansformer 2: Revenge of The Fallen bermula pada pukul 1910 dan memperolehi tempat duduk nun jauh dibelakang. Kerana hiburan inilah, seorang lelaki sanggup meninggalkan solat berjemaah di masjid atau surau kerana ingin menonton tayangan Nur Kasih dan Ceplos di TV.

Tangani Masalah Seni Hiburan

Cuba kita lihat, betapa banyaknya keburukan dalam seni hiburan ini. Justeru, hendaklah kita bersama-sama mengembleng tenaga untuk merubah gejala negatif agar menjadi positif. Jadikan hari ini lebih baik dari semalam! Esok, insyAllah lebih baik dari hari ini.

Terdapat banyak cara untuk kita semua berusaha menangani masalah seni hiburan ini. Antaranya adalah:

i) Solat hiburan UTAMA

Seperti sabda Nabi Muhammad SAW kepada Bilal, "Tenangkan dirimu ketika solat ya Bilal". Cuba kita lihat, Rasulullah SAW berpesan kepada Bilal, jika mahukan ketenangan, jadikan solat itu sebagai caranya. Bukan dengan mendengar lagu-lagu yang mengasyikkan atau melancong ke tempat-tempat peranginan yang mendamaikan.

ii) Majlis hiburan yang tidak melalaikan

Dalam bab ini, ada sedikit pujian dari saya buat kerajaan Selangor sekarang. Kenapa? Dahulu, kawan saya ada pergi 'satu majlis' anjuran kerajaan Selangor di Stadium Melawati. Berdasarkan ceritanya, program hiburan itu menarik kerana susunan majlisnya. Bermula dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan solat Hajat dan sedikit tazkirah. Kemudian Solat Isyak berjemaah. Selepas selesai, MB Selangor memberikan sedikit ucapan dan konsert nasyid berlangsung selepas itu. Yang menarik perhatian saya, sekurang-kurangnya, konsert itu tidak menyebabkan pengunjung melewat-lewatkan atau 'terlepas' untuk bersolat.

iii) Tiada percampuran lelaki dan perempuan

Kalau yang ini pula, saya memuji pucuk pimpinan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan. Tanpa perlu saya bercerita panjang, rasanya sudah ramai yang mengetahui akan konsert-konsert yang diadakan di Kelantan. Bagaimana pentadbir-pentadbir Kelantan memisahkan pengunjung lelaki dan perempuan agar tiada pergaulan bebas ketika konsert berlangsung.

iv) Tanam kesedaran Islam dalam Artis

Kalau artis-artis ini mula memahami Islam, Tiada sudah penyanyi-penyanyi wanita selepas ini. Bukankah Islam melarang wanita melunak-lunakkan suara untuk yang bukan 'selayaknya'. Jika artis-artis mula mengenali Islam, sudah pasti tiada lagi lakonan-lakonan 'bermutu' artis-artis Malaysia ketika berlakon. Kalau itu yang Islam mahukan, kenapa perlu dipersoalkan lagi? Adakah kerana kita mahukan seni hiburan itu, maka maksiat tidak dapat dipisahkan lagi? Banyak lagi seni hiburan yang terhidang diluar sana yang halal, terpulang pada kita untuk memilihnya atau menolaknya. Ada sahaja drama-drama berunsurkan islamik dari dahulu lagi.


v) Pemantauan dan penguatkuasaan pentadbiran

Dalam hal ini, kerajaan patutlah menghadkan lesen-lesen pembukaan disko dan pusat hiburan serta memantau operasi sebegini secara berterusan agar kemaksiatannya boleh dicegah. Bajet untuk sektor hiburan hendaklah dikurangkan agar dapat digunakan pada saluran yang lebih memerlukan. Realiti-realiti televisyen dalam mencari bakat-bakat baru hiburan perlulah dikurangkan sebaliknya diganti dengan realiti TV yang mencari bakat-bakat baru dalam bidang yang dapat memberi kebaikan kepada manusia, negara dan Islam itu sendiri seperti bakat dalam mencipta sesuatu yang baru.

vi) Sistem pendidikan yang berkesan

Bagi saya, inilah sumber tunjang dalam merubah sesuatu. Sistem pendidikan yang berkesan bagaikan jantung kepada tubuh badan kita. Jika jantung itu berfungsi dengan baik dan tiada cacat celanya, bekalan darah dapat dihantar ke setiap anggota badan yang lain. Bekalan oksigen dalam darah, dapat dipam dan dihantar dengan tertib kepada otak kita. Jika pendidikan dijalankan dengan betul dan mengikut syariat pada landasannya, nescaya insyAllah, semua masalah yang ada sekarang, pasti dapat dihindari dan ditangani. Lagipun, jika kita hendak membentuk sesuatu ketamadunan seseorang, mestilah bermula ketika mereka masih kecil lagi. "Meluntur buluh biarlah dari rebungnya" InsyAllah, jika kita semua memperbetulkan seni hiburan ini, nescaya tidak mustahil jika suatu hari nanti, seni hiburan dapat merubah wajahnya dari melalaikan dan membinasakan kepada suatu kebudayaan yang menjadi jati diri kita disamping menjadikan kita semakin mengingati Allah dan RasulNya.

Selasa, 8 September 2009

Memohon Pada-Mu Ya Rabb

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Tuhan pencipta alam seluruhnya.Tiada Yang lebih berkuasa melainkan-Mu Ya Rabbuli'zzati.

YA ALLAH,
rahmatilah kami dengan al-quran,jadikanlah ia sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk, dan rahmat buat kami insan yang lemah.Ya Allah, ingatkanlah apa yang kami lupa daripadanya, berikanlah ilmu apa yang belum kami ketahui mengenainya,anugerahkan kepada kami untuk membaca kitabullah ini di tengah malam dan penghujung siang,jadikanlah ia sebagai hujah bagi kami wahai Tuhan seru sekalian alam. Ya Allah, perbaikilah bagi kami agama kami kerana dialah penjaga urusanku, perbaikilah bagi kami dunia kami kerana di dalamnya aku hidup, perbaikilah bagi kami akhirat kami, kerana ia tempat kembali kami, jadikanlah hidupan sebagai tambahan segala kebaikan bagi kami, dan jadikanlah kematian sebagai kerehatan kami dari segala kejahatan.

YA ALLAH,
jadikanlah sebaik-baik umur kami pada penghabisannya,dan sebaik-baik amal kami adalah penutupnya dan sebaik-baik hari bagi kami adalah hari berjumpa dengan-Mu.
Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kehidupan yang tenteram, kematian yang tenang dan tempat kembali yang tidak menyedihkan dan tidak membuka aib.Ya Allah, kami memohon kepada-Mu sebaik-baik pemohonan,sebaik-baik doa, sebaik-baik kejayaan, sebaik-baik ilmu, sebaik-baik amal, sebaik-baik pahala, sebaik-baik kehidupan, sebaik-baik kematian, teguhkanlah kami, beratkanlah timbangan kebaikan kami,teguhkan keimanan kami, tinggikanlah darjat kami, terimalah sembahyang kami, ampunilah segala kesalahan kami, kami memohon ketinggian syurga.

YA ALLAH,
Kami memohon kepada-Mu keharusan mendapatkan rahmat-Mu dan keteguhan pengampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dari semua kebajikan,keuntungan syurga dan keselamatan dari Azab api neraka. Ya allah, perbaikilah akhir hayat kami dalam segala perkara, selamatkanlah kami dari kenistaan hidup di dunia dan siksaan di akhirat.

YA ALLAH,
anugerahkanlah bagi kami ketakutan kepada-Mu yang dapat menghindarkan kami dari berbuat maksiat kepada-Mu, ketaatan yang dapat menyampaikan kami kepada syurga-Mu, keyakinan yang dapat menempuhi musibah dunia yang menimpa kami, berilah kenikmatan kepada kami dengan pendengaran, penglihatan dan kekuatan kami selama hidup kami, jadikanlah ia sebagai peninggalan kami, jadikanlah pembalasan kami kepada orang yang menzalimi kami, tolonglah kami menghadapi orang yang memusuhi kami, janganlah Engkau jadikan dunia sebagai kehendak kami yang paling besar dan pengetahuan paling akhir kami, janganlah engkau beri kekuasaan atas kami kepada orang yang tidak mengasihi kami.

YA ALLAH,
janganlah Engkau tinggalkan dosa-dosa pada kami melainkan Engkau telah mengampuninya, janganlah Engkau tinggalkan kesusahan kepada kami melainkan setelah mengembirakannya, janganlah Engkau tinggalkan hutang-hutang kepada kami melainkan setelah menunaikannya, dan janganlah Engkau tinggalkan sesuatu keperluan dunia dan akhirat pada kami melainkan Engkau telah menunaikannya wahai Zat Yang Maha Mengasihani.

Ya Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikkan di dunia dan kebaikan di akhirat dan selamatkanlah kami dari siksa api neraka, semoga Allah melimpahkan selawat dan salam buat junjungan kita nabi Muhammad S.A.W dan kepada keluarganya serta para sahabatnya.Ameen Ya Rabb.

PERKENANKANLAH DOA KAMI

Mayat Bertukar Menjadi Babi Hitam

Di riwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah S.A.W sedang duduk bersama para sahabat. Kemudian datang pemuda Arab masuk kedalam masjid dengan menangis. Apabila Rasulullah S.A.W melihat pemuda itu menangis, maka baginda pun berkata, ‘Wahai orang muda, kenapa kamu menangis?’
Maka berkata orang muda itu, ‘Ya Rasulullah S.A.W, ayah saya telah meninggal dunia dan tidak ada kain kafan dan tidak ada orang yang hendak memandikannya.’ Lalu Rasulullah S.A.W memerintahkan Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. ikut orang muda itu untuk melihat masalahnya. Setelah mengikut orang itu, maka Abu Bakar r.a dan Umar r.a. mendapati ayah orang muda itu telah bertukar rupa menjadi babi hitam. Maka mereka pun kembali dan memberitahu kepada Rasulullah S.A.W, ‘Ya Rasulullah S.A.W, kami lihat mayat ayah orang ini bertukar menjadi babi hutan yang hitam.’
Kemudian Rasulullah S.A.W dan para sahabat pun pergi kerumah orang muda itu dan baginda pun berdoa kepada Allah S.W.T. Kemudian mayat itu pun tukar kepada bentuk manusia semula. Lalu Rasulullah S.A.W dan para sahabat menyembahyangkan mayat tersebut. Apabila mayat itu hendak dikebumikan, maka sekali lagi mayat itu berubah menjadi seperti babi hutan yang hitam. Maka Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada pemuda itu, ‘Wahai orang muda, apakah yang telah dilakukan oleh ayahmu sewaktu dia didunia dulu?’
Berkata orang muda itu, ‘Sebenarnya ayahku ini tidak mahu mengerjakan solat.’ Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda, ‘Wahai para sahabatku, lihatlah keadaan orang yang meninggalkan sembahyang. Dihari kiamat nanti akan dibangkitkan oleh Allah S.W.T seperti babi hutan yang hitam.’
Di zaman Abu Bakar r.a ada seorang lelaki yang meninggal dunia dan sewaktu mereka menyembahyanginya, tiba2 kain kafan itu bergerak. Apabila mereka membuka kain kafan itu, mereka melihat ada seekor ular sedang membelit leher mayat tersebut serta memakan daging dan menghisap darah mayat. Lalu mereka cuba membunuh ular itu.
Apabila mereka cuba untuk membunuh ular itu, maka berkata ular tersebut,
Laa ilaaha illallahu Muhammadu Rasulullah, mengapakah kamu semua hendak membunuh aku? Aku tidak berdosa dan aku tidak bersalah. Allah S.W.T yang memerintahkan kepadaku supaya menyeksanya sehingga sampai hari kiamat.’
Lalu para sahabat bertanya, ‘Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh mayat ini?’ Berkata ular, ‘Dia telah melakukan tiga kesalahan, di antaranya;
1. Apabila dia mendengar azan, dia tidak mahu datang untuk sembahyang
2. Dia tidak mahu keluarkan zakat hartanya.
3. Dia tidak mahu mendengar nasihat para ulama. Maka inilah balasannya’.