Rabu, 17 Jun 2009

Bersabarlah Wahai Remaja

Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang soleh dan solehah buat kedua ibu bapamu, andai engkau sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau masih ibu, didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan ad-din Allah. Kembalilah kepada matlamat hidup kita iaitu untuk mendapat mardhotillah.

Andai engkau belum berkahwin jangan kau risau jodohmu, ingatlah janji Tuhan kita, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik.dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Jangan dimulakan sebuah pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim kerana aku khuatir dari mata jatuh ke hati, maka lahirnya senyuman maka tercetusnya salam dan sekaligus disususli dengan pertemuan takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri. Jodoh pertemuan semua di tangan Allah tapi tidak bermakna kita tak perlu berusaha untuk mendapatkannya cuma tak perlu ditonjolkan dengan berlebih-lebihan. Walau siapa pun jodoh yang Allah tentukan untuk kita , terimalah dengan hati yang redha. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kita sayang tak jadi hal lah, tapi kalau dapat orang yang kita tak nak lantaran kelemahan yang ada pada dia. Ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing dan mungkin kita ada kekuatan yang dapat mengubah si dia supaya hidup dia bermakna dan mungkinkita sahaja yang mampu mengcungkil kelebihan yang ada pada dia. Mungkin juga si dia ini ada sesuatu kelebihan yang kita sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kita.


Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa, lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannya, lelaki yang warak tidak menilai wanita melalui keayuan, kemanjaan, serta kemampuannya menggoncang iman lelaki tetapi lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya, dan yang paling penting pegangan agamanya. Lelaki yang baik juga tidak menginginkan pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana dia takut memberi kesempatan kepada syaitan untuk menggodanya. Lelaki yang warak juga tidak mahu bermain cinta kerana dia tahu apa matlamat dalam sebuah pertemuan lelaki dan perempuan yakni sebuah perkahwinan. Janganlah cuba menghampiri zina hati yang sangat halus untuk kita tafsirkan namun ianya boleh menyebabkan penyakit hati yang sukar untuk kita ubati. Jika kita merasakan kita boleh elakkan dari zina mata. tangan, dan kaki tetapi zina hati belum tentu kita dapat hindari jika cinta antara lelaki dan perempuan itu berputik.


Jagalah pandanganmu, awasilah auratmu, peliharalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu. Andai ditakdirkan tiada cinta untukmu cukuplah hanya cinta Allah memenuhi dan menyinari kekosongan jiwamu, biarlah hanya cinta daripada kedua ibu bapamu yang memberi hangatan kebahagiaan buat dirimu, cukuplah sekadar cinta adik-beradik serta keluarga yang membahagiakan dirimu. Manusia ini adakalanya membenci sesuatu padahal ia adalah baik buat kita dan adakalanya kita sengan dengan sesuatu itu padahal ia buruk buat kita. Berhati-hatilah kita dengan tipu daya syaitan yang cuba memperdayakan dan menyesatkan umat manusia.


Hati kita ini walau pun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita, kita tak mampu untuk mengawalnya. Hanya allah yang boleh memegangnya. Sebab itu kita mesti dekatkan diri dengan Allahsupaya dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah. Bercinta dengan Allah berbeza dari cinta dengan manusia. Betapa nikmatnya cinta Allah hanya meeka yang pernah merasainya sahaja yang mampu mengerti. Cintailah Allah di kala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta daripada insan yang juga menyintai Allah. Cintailah kedua ibu bapamu kerana kau akan perolehi keredhaan Allah. Cintailah keluargamu kerana kau tak akan jumpa cinta yang bahagia selain dari cinta keluarga. Jangan sesekali tangan yang menggoncang dunia juga akan menggoncang iman seseorang. Fikir-fikirkan....


Engkaulah Tuhan Pencipta Manusia

Terdengar bisikan mesra

Kalimah alunan suara

Bermulanya siang berlalu malamku

Tak akan ku jemu menyebut namamu


Tiada batasan waktu

Tiada tempat ku berteduh

Di gunung di lembah

Di darat di air

Tiada pun hamba keikhlasan doa

Keagungan kasih mengubah takdir


Bilaku sedari diri disayangi

Langkah kaki ini semakin berani

Bila terkeliru ku sebut namaMu

Terasa diriku semakin dipandu

Engkau yang pertama tiada akhirnya

Aku dalam kegelapan engkaulah cahaya

Izinkanlah aku menumpang di sini

Di bawah naungan kasih dan sayang Mu

Ku berserah diri…..

Ukhuwwah Fillah

Sesungguhnya sebaik-baik teman itu adalah teman yang sering mengingatkan kita samada di dalam sukar mahupun senang. Teman yang terbaik juga adalah teman yang sentiasa mentarbiahkan diri dan sahabatnya kepada Allah. Wahai sahabat, sesungguhnya diri ini insan yang lemah. Ingatkan daku tikaku leka, tenangkanlahku tika aku bersedih, pujuklah daku tika aku hampir berputus asa dengan tarbiah-tarbiah dan janji-janji syurga Allah agar kita dapat bersama-sama menuju ke syurgaNya. Amin

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه

Sabda Rasulullah S.A.W: Tidak beriman (sempurnanya) seseorang kamu, sehingga dia kasihkan (sesuatu) kepada saudaranya apa yang dia kasihkan untuk dirinya sendiri. (riwayat Bukhari)

Sepertimana yang sedia maklum, menjadi kewajipan dan tanggungjawab kita membina dan menyempurnakan kaedah ukhuwwah yang telah Allah aturkan dan tentukan buat kita dengan sebaik-baik aturan. Kaedah ukhuwwah islamiyah mestilah berlandaskan keimanan dan keikhlasan serta cinta kepada Allah. Janganlah kita melebihkan cinta kita melainkan cinta kepada Allah S.W.T. Bukanlah cinta kepada harta kekayaan, material, pangkat dan kecantikan sebagai ukurannya. Sekiranya ukhuwwah sentiasa dibajai, akan terbentuklah umat yang bersatu padu yang sukar digoyah oleh musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari jalan merosakkan persaudaraan umat Islam.

Sedarkah kita di serata dunia, syaitan-syaitan laknatullah bersorak gembira melihat terlerainya dan rapuhnya ukuhwwah umat Nabi Muhammad S.A.W. Sanggupkah kita ditertawakan dan dipermainkan oleh musuh-musuh islam itu? Tepuk dada tanyalah iman! Pesaudaraan yang erat sesama Muslim adalah dituntut kerana mereka berpaut kepada aqidah, tidak dikaitkan dengan kepentingan duniawi dan materialistik semata-mata.Namun begitu, umat Islam kini terlalu renggang dan meninggalkan amalan murni Islam. Persaudaraan yang tidak lagi berteraskan keimanan terhadap Allah sebaliknya berteraskan materialistik, kumpulan, kebangsaan, kelab dan sebagainya. Umat islam lebih suka bersengketa sesama sendiri walaupun larangan syarak berhubung dengannya terlalu banyak dalam nas al-quran mahupun hadith.

إنما المؤمن إخوة فأصلحوا بين أخويكم واتقوا الله لعلكم ترحمون

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Ayat ini jelas membawa erti jika runtuhnya persaudaraan di kalangan umat Islam adalah satu bala yang mana Allah akan mendatangkan natijah dari kerenggangan persaudaraan ini dengan hilangnya kekuatan umat Islam itu sendiri. Kita manusia biasa kadang kala kelesuan, kelalaian, kelekaan, dan tenggelam dalam kealpaan. Mungkin juga terpedaya dengan hasutan syaitan yang dilihat indah-indah semuanya, padahal ia adalah tipu daya syaitan semata-mata.

Sesungguhnya sahabat yang soleh itu ialah teman yang sentiasa mengingatkan kita kepada kebaikan. Apabila kita memandang wajahnya ia terus mengingatkan kita kepada Allah dan taat kepadaNya. Ayuhlah sahabat-sahabat semua kita bangkit memperkasakan ukhuwwah fillah dan meneruskan perjuangan junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W dalam menegakkan syiar Islam. Wallahua'lam

Ahad, 14 Jun 2009

Kalimah Syukur Dipanjatkan

بسم الله الرحمن الرحيم

بلغ عنى ولو أية

ُErtinya: Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.

Berdasarkan hadis diatas, membuatkan saya terpanggil untuk mencoret blog ini dengan kekuatan ilahi akan ku perjuangkan jihad ilmu dan akan meneruskan perjuangan Nabi Muhammad S.A.W dalam menegakkan agama islam. Alhamdulillah saya diberi kekuatan untuk bersama-sama berkongsi ilmu di dalam blog saya wadahnurani. Kekuatan itu sebenarnya tak perlu ditunggu tetapi harus dibina , syukur saya ke hadrat ilahi dengan limpah kurnianya maka terbinalah blog ini.

Tak lupa juga saya ucapkan ribuan terima kasih buat sahabat-sahabat saya yang banyak memberi sokongan untuk mengukir blog ini. Sama-samalah kita mengambil intifadah dengan perisian yang ada agar boleh dijadikan medan ilmu yang akan memantapkan dan memperluashan lagi pengetahuan, disamping bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain.
Ilmu itu akan berkembang jika kita sampaikan dan semakin kita mencari ilmu semakin banyak sebenarnya yang kita belum tahu, jadi sama-samalahlah kita memanfaatkan ilmu yang kita ada.

Diharapkan pembaca semua terhibur dan dapat mengambil manfaat dengan sebaiknya. Kita manusia biasa sebenarnya adalah sama sahaja, yang membezakan kita adalah ilmu yang dimanfaat. Dengan ini marilah kita pertingkatkan ilmu dan koreksi diri kita hiasi peribadi menuju redha ilahi. Sesungguhnya usaha yang kecil ini akan mendatangkan manfaat yang besar di masa hadapan.

"Fikiran hanya akan tumbuh jika dipergunakan dan akan surut jika dibiarkan menganggur", kata-kata ini jelas memberi makna kepada kita bahawa perlunya kita menggunakan nikmat akal fikiran dengan sebaiknya dan tidak mensia-siakannya.

Akhir kalam, Semoga diberkati Tuhan.AMEEN YA RABB




Isnin, 8 Jun 2009

Al-Fatihah

Al-Fatihah

Aku berlindung denganmu Ya Allah

Dari syaitan yang di rejam


Dengan menyebut namamu Ya Allah

Maha Pemurah Penyayang


Segala Pujian hanya untukmu

Tuhan seluruh alam…

Tuhan Maha Pemurah Penyayang

Tuhan Memerintah Hari Pembalasan

Hanya padaMu kami Menyembah

Dan padaMu Mohon Pertolongan


Tunjukki kami jalan yang lurus

Jalan-jalan yang Kau beri nikmat

Bukan jalan yang kau murkai

Bukan jalan orang yang sesat


PERKENANKAN DOA KAMI…