Rabu, 17 Jun 2009

Ukhuwwah Fillah

Sesungguhnya sebaik-baik teman itu adalah teman yang sering mengingatkan kita samada di dalam sukar mahupun senang. Teman yang terbaik juga adalah teman yang sentiasa mentarbiahkan diri dan sahabatnya kepada Allah. Wahai sahabat, sesungguhnya diri ini insan yang lemah. Ingatkan daku tikaku leka, tenangkanlahku tika aku bersedih, pujuklah daku tika aku hampir berputus asa dengan tarbiah-tarbiah dan janji-janji syurga Allah agar kita dapat bersama-sama menuju ke syurgaNya. Amin

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه

Sabda Rasulullah S.A.W: Tidak beriman (sempurnanya) seseorang kamu, sehingga dia kasihkan (sesuatu) kepada saudaranya apa yang dia kasihkan untuk dirinya sendiri. (riwayat Bukhari)

Sepertimana yang sedia maklum, menjadi kewajipan dan tanggungjawab kita membina dan menyempurnakan kaedah ukhuwwah yang telah Allah aturkan dan tentukan buat kita dengan sebaik-baik aturan. Kaedah ukhuwwah islamiyah mestilah berlandaskan keimanan dan keikhlasan serta cinta kepada Allah. Janganlah kita melebihkan cinta kita melainkan cinta kepada Allah S.W.T. Bukanlah cinta kepada harta kekayaan, material, pangkat dan kecantikan sebagai ukurannya. Sekiranya ukhuwwah sentiasa dibajai, akan terbentuklah umat yang bersatu padu yang sukar digoyah oleh musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari jalan merosakkan persaudaraan umat Islam.

Sedarkah kita di serata dunia, syaitan-syaitan laknatullah bersorak gembira melihat terlerainya dan rapuhnya ukuhwwah umat Nabi Muhammad S.A.W. Sanggupkah kita ditertawakan dan dipermainkan oleh musuh-musuh islam itu? Tepuk dada tanyalah iman! Pesaudaraan yang erat sesama Muslim adalah dituntut kerana mereka berpaut kepada aqidah, tidak dikaitkan dengan kepentingan duniawi dan materialistik semata-mata.Namun begitu, umat Islam kini terlalu renggang dan meninggalkan amalan murni Islam. Persaudaraan yang tidak lagi berteraskan keimanan terhadap Allah sebaliknya berteraskan materialistik, kumpulan, kebangsaan, kelab dan sebagainya. Umat islam lebih suka bersengketa sesama sendiri walaupun larangan syarak berhubung dengannya terlalu banyak dalam nas al-quran mahupun hadith.

إنما المؤمن إخوة فأصلحوا بين أخويكم واتقوا الله لعلكم ترحمون

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Ayat ini jelas membawa erti jika runtuhnya persaudaraan di kalangan umat Islam adalah satu bala yang mana Allah akan mendatangkan natijah dari kerenggangan persaudaraan ini dengan hilangnya kekuatan umat Islam itu sendiri. Kita manusia biasa kadang kala kelesuan, kelalaian, kelekaan, dan tenggelam dalam kealpaan. Mungkin juga terpedaya dengan hasutan syaitan yang dilihat indah-indah semuanya, padahal ia adalah tipu daya syaitan semata-mata.

Sesungguhnya sahabat yang soleh itu ialah teman yang sentiasa mengingatkan kita kepada kebaikan. Apabila kita memandang wajahnya ia terus mengingatkan kita kepada Allah dan taat kepadaNya. Ayuhlah sahabat-sahabat semua kita bangkit memperkasakan ukhuwwah fillah dan meneruskan perjuangan junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W dalam menegakkan syiar Islam. Wallahua'lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan